Sunday, October 11, 2015

Banjir Di Daerah Kemaman

Kemaman – Bilik Gerakan Banjir Pejabat Daerah Kemaman telah dibuka bermula 24 Disember 2012. Kira-kira 37 buah pusat pemindahan banjir di keempat-empat DUN di daerah Kemaman iaitu 20 pusat perpindahan di DUN Air Putih, 7 di DUN Kijal, 9 di DUN Chukai dan 1 di DUN Kemasik.
Jumlah keseluruhan mangsa pada waktu kritikal ialah 12, 473 orang dengan pecahan mangsa di DUN Air Putih seramai 9928 mangsa yang terdiri dari 2267 keluarga, di DUN Chukai seramai 2545 mangsa (861 keluarga), di DUN Kijal seramai 236 mangsa (61 keluarga), manakala di DUN Kemasik seramai 16 mangsa (3 keluarga). Antara pusat pemindahan yang paling padat di DUN Air Putih ialah di SMK Bukit Mentok dengan 6815 mangsa, SK Bukit Mentok dengan 1846 mangsa dan GDW Felda Seberang Tayur dengan seramai 537 mangsa. Di DUN Chukai pula, pusat pemindahan SK Seri Geliga (berpindah dari Kompleks Rakan Muda )merupakan pusat pemindahan paling padat dengan 2265 mangsa.
Antara jabatan-jabatan yang terlibat dalam memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Kesihatan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Syarikat Air Terengganu, Polis, Bomba dan Majlis Pebandaran Kemaman. Selain itu, anggota tentera dari Pasukan 18 RAMD (8 Brigade) Kuala Terengganu, 5 Renjer (8 Brigade) Kelantan, 60 RAJD (AW) / SYABAS Selangor dan Batalion Ke 3 Perubatan Kem Mahkota Johor turut sama memberikan bantuan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok pada 27 Disember 2012. Turut sama dalam lawatan itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin. Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada mangsa serta melawat kawasan banjir di beberapa lokasi lain menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Bagi DUN Kijal dan Kemasik, mangsa telah pulang ke rumah masing-masing pada 27 Disember 2012 manakala DUN Air Putih dan Chukai sehingga 30 Disember 2012.

No comments:

Post a Comment